Diselubungi Air Mata Kehampaan, Ini Rahsia Auditor Perbankan Berjaya Buka Kilang Kosmetik

Helo pembaca blog KL!

Hari ini, KL nak bercerita satu rahsia. Nak tahu tak? Rahsia macam mana seorang auditor perbankan boleh buka sebuah kilang kosmetik. Macam tak ada kena-mengena kan antara auditor yang kerja kira-kira dengan bidang kecantikan. Tapi itulah yang dinamakan passion. Walau diselubungi air mata dan kehampaan, semangat KL tak pernah luntur tau.

KL ialah seorang auditor. Itulah kerja KL yang hakiki dan KL lakukan sepenuh masa. Kerja di pejabat. Seorang auditor perlukan tumpuan yang sangat teliti. Tak pernah tergambar suatu hari nanti KL akan berubah situasi bekerja daripada seorang auditor kepada apa yang KL lakukan pada hari ini.

KL sangat suka tengok wanita lain cantik.

Semuanya berdasarkan minat dan keghairahan. Cinta KL terhadap bidang kecantikan ni sangat mendalam. KL suka tengok orang cantik disolek, suka ambil tahu mengenai produk kosmetik yang boleh buat seseorang itu tampil menarik.

Sebab itulah KL ambil peluang asah bakat dan isi masa hujung minggu dengan aktiviti menyolek. KL jadi jurusolek profesional atau sekarang ni lebih dikenali sebagai (MUA) iaitu make up artist.

Bukan sekejap KL ke sana ke sini menyolek orang. Diam tak diam, KL buat kerja-kerja menyolek ni selama lima tahun. Walaupun KL hanya aktif pada hujung minggu secara sanbilan, tapi pengalaman menggunakan produk kosmetik dan teknik menyolek itu makin lama makin menebal dalam diri.

Apabila kita buat perkara yang kita minat, nescaya kita akan buat dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira penat.

Sampailah suatu hari, soalan daripada emak KL mengubah 360 darjah pandangan KL terhadap produk kosmetik yang KL gunakan. Nak tahu apa soalan cepumas daripada emak KL? Korang kena baca entri blog KL yang sebelum ini di sini yer.

PENCARIAN YANG HAMPA

Pernah tak anda rasa hampa? Bila kita hampa, ada dua perkara yang kita cenderung nak buat. Perkara pertama, kita terus down dan biarkan diri kita mengalah.

Perkara kedua, kita akan bangkit dan jadikan kehampaan itu sebagai batu loncatan untuk kita lakukan tindakan. Itulah yang berlaku pada KL. KL pilih untuk memilih perkara kedua iaitu bangkit dan bertindak.

Sebenarnya KL bukan hampa sebab apa. KL hampa bila KL tak dapat cari kilang untuk hasilkan formula foundation yang KL mahukan. KL berhajat membuat formula foundation sebagaimana foundation NARS yang amat KL jatuh hati bila menggunakannya. Niat KL nak buat satu foundation yang berkualiti tinggi macam NARS tapi diyakini halal.

Kilang Estee Lauder mempunyai makmal sendiri dan sangat dipercayai dalam penghasilan produk kecantikan dunia.

KL usung ke sana ke sini foundation NARS dan cari kilang kosmetik tempatan yang diperakui dengan status Amalan Perkilangan Baik atau Good Manufacturing Services (GMP) serta diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Namun pencarian KL hampa kerana tiada satu pun kilang yang dapat capai piawaian KL untuk buat formulasi yang KL kehendaki. Time tu KL betul-betul sedih, kecewa dan hampa. Tapi, Allah berikan KL ilham yang sangat-sangat menyuntik semangat KL.

“Kenapa tak ada kilang Muslim Halal di Malaysia ni yang boleh hasilkan formula macam brand international? Susah sangat ke nak buat kilang macam tu?”

Tekad! KL betul-betul tekad dengan apa yang KL mahukan. KL nak menjawab soalan yang emak KL berikan pada KL suatu ketika dulu dengan yakin.

KL tekad nak buat makmal dan kilang sendiri yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan formula kosmetik yang HALAL dan kualiti formula setaraf antarabangsa. TEKAD!

PERJUANGAN BARU BERMULA

Dengan bantuan dan semangat daripada suami tercinta, Tuan Azizi Mohd, kami sama-sama korek segala duit simpanan yang kami ada. Setelah ada sejumlah wang di tangan yang kami peruntukkan untuk membina kilang impian kami, kami mula cari satu lot kecil di kawasan industri untuk disewa. Kami nak buka makmal yang bertujuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Kami jumpa satu lot yang merupakan kedai dua tingkat. Kami sewa bahagian atas untuk dijadikan makmal. Kemudian KL ambil seorang staf iaitu seorang ahli kimia untuk buat formula. Kami bincang mengenai formula bersama-sama, kami beli bahan mentah yang diyakini halal.

Inilah kilang pertama KL yang mana didalamnya mempunyai makmal dan juga mendapat sijil GMP dari KKM dan sijil HALAL dari JAKIM

Perjuangan kami bukan mudah. Merata-rata kami hubungi pembekal untuk dapatkan bahan mentah yang betul-betul diyakini halal. Halal bukan sekadar di atas kertas sahaja. Kami kena tahu sumber dan proses bahan mentah itu dibuat.

Proses inilah yang KL dan team R&D lakukan secara konsisten. Produk pertama yang KL hasilkan di bawah brand kilang KL sendiri adalah Melty Glam Aqua Foundation yang berkualiti tinggi menggunakan teknologi Skin Microbiome dan juga Calendula Oil Serum. Dengan ciri-ciri foundation dan Calendula Oil Serum ini, KL percaya rangkaian produk HAUS Cosmetics boleh pergi jauh.

Alhamdulillah, berkat dipermudahkan oleh Allah SWT, segala usaha dan susah payah KL bersama team, kami berjaya laluinya. Daripada keadaan makmal kecil cinonet, kami tak pernah mengalah. Kegagalan menghasilkan formulasi yang diingini, kami tetap buat dan ulangi sehingga dapat capai formulasi yang dikehendaki.

Apa yang penting, seluruh masyarakat dapat menggunakan produk kosmetik yang tidak merosakkan kulit muka. Produk kosmetik tempatan dengan kualiti setanding produk antarabangsa tetapi halal dan toyyib.

Kini, sejak 2016, kilang kosmetik halal dengan nama GIM Cosmetic Industries Sdn Bhd telah berdiri gah dengan tiga cawangan merangkumi kosmetik alat solek, penjagaan kulit dan suplemen. Itulah rahsianya macam mana seorang auditor boleh membuka kilang kosmetik.

Semuanya didorong oleh soalan emak dan juga dengan rasa cinta KL yang menebal dalam bidang kecantikan untuk lihat seluruh masyarakat Malasyia menggunakan produk kosmetik yang diyakini halal.

Jumpa lagi dalam entri seterusnya. Salam sayang, KL.

Share:

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on linkedin

Isi Kandungan

Artikel Menarik

Jangan ketinggalan untuk baca artikel ini juga